Wednesday, 11 May 2016

Nak apply jawatan RA? Baca ni dulu.



Apa itu RA?
RA (Research Assistant) atau pembantu penyelidik adalah nama jawatan bagi individu yang diupah oleh majikan (ketua projek, pensyarah, pusat, institut) untuk menjalankan sesuatu projek penyelidikan.

Apa skop kerja?
Membantu melengkapkan projek penyelidikan. Selalunya RA adalah mereka yang menjalankan secara langsung projek itu. Contoh tugasan; mengumpul data, melakukan kerja makmal, ke lapangan mengutip sampel, menemuramah subjek, key-in data, melakukan analisis, proses pembelian, menjaga haiwan kajian, menyiapkan penerbitan, menyediakan laporan dan sebagainya.

Banyaknya tugas, mana satu nak buat?
Anda harus jelas gaji anda dibayar dari mana (sumber kewangan). Kalau dari geran, sepatutnya yang boleh memberi arahan kepada anda adalah ketua projek bagi geran tersebut. Kalau orang lain bagi arahan, sila confirmkan dengan ketua projek terlebih dahulu. Anda answerable kepada ketua projek. Kerana jika ada apa-apa isu dengan pemberi dana (kementerian/institusi/sponsor), ketua projek yang bertanggungjawab.

Apa laluan kerjaya RA ni?
Jangan anggap RA sebagai kerjaya pun. Sebenarnya RA hanyalah seperti jambatan untuk anda sambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi - Sarjana atau PhD. Ketua projek juga sebenarnya sangat berbesar hati untuk menawarkan anda untuk sambung di bawahnya. Bila dah daftar sebagai pelajar, statusnya bertukar kepada GRA (Graduate Research Assistant).

Sebenarnya bagus ke tak jadi RA ni. Laluan kerjaya macam samar-samar je?
Kalau mahu mencari kerjaya yang stabil, RA adalah pilihan yang salah. Tetapi jika sebenarnya mahu sambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi, RA adalah pilihan yang baik. Gaji RA juga adalah agak rendah jika dibandingkan dengan gaji eksekutif sekarang di sektor kerajaan mahupun swasta.

Oklah, saya memang ada niat nak sambung. Tapi tiada pengalaman langsung. Ok ke?
Tiada masalah. Selalunya projek penyelidikan tu memerlukan set skill yang sangat spesifik. Contohnya menjalankan ujian PCR (polymerase chain reaction). Sekurang-kurangnya anda ada subjek di universiti yang berkaitan dengan ujian itu, sudah memadai. Ketua projek  tidak expect anda terus pandai. Skill tersebut anda perlu belajar kemudian. Kalau anda memang ada pengalaman, itu adalah kelebihan yang sangat membantu.

Nanti nak belajar dari mana untuk buat kerja-kerja tu semua?
Secara tradisionalnya, anda akan banyak belajar dari senior di makmal/ pusat/ institut itu. Jika makmal itu sudah established, ada SOP untuk setiap kerja. Ketua projek akan bagi arahan untuk siapkan sesuatu kerja, tetapi untuk belajar cara anda perlu mencari inisiatif sendiri. Ada juga kursus yang diadakan di luar, yang mana sesuai sila sertai.

Oklah..saya berminat. Nak apply macam mana?
Email kepada ketua projek CV dan cover letter yang sesuai. Sesi temuduga akan dilakukan.

Semoga berjaya!


Pusat Maklumat Untuk Pembantu Penyelidik (RA) di Malaysia






Assalamualaikum & Salam Sejahtera,


Polisi pendidikan sekarang yang lebih menggalakkan orang ramai untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi (Sarjana & PhD) telah membuka banyak peluang kepada mereka yang berminat untuk bermula sebagai Pembantu Penyelidik (Researh Assistant) atau Pembantu Penyelidik Berijazah (Graduate Research Assistant).

Namun pada masa kini, sangat kurang terdapatnya panduan dan pusat maklumat setempat sebagai rujukan RA ini sebagai persediaan bagi menjadi seorang RA yang berpotensi untuk pergi dengan lebih jauh. Kebanyakannya sangat keliru dan tiada matlamat yang jelas. Keadaan ini jika berterusan akan memberikan impak negatif bukan sahaja kepada RA tersebut, tetapi juga kepada Ketua Projek, ahli kumpulan, fakulti, universiti dan akhirnya negara kerana dana sumber geran tersebut pastinya datang dari hasil kutipan cukai setiap rakyat.

Trend carian maklumat sekarang telah berubah kepada lebih teknikal dan spesifik kepada bidang yang diceburi. Majoriti maklumat tersebut adalah dalam bahasa inggeris. Walaupun bahasa inggeris adalah bahasa komunikasi utama di dunia, namun seharusnya bahasa ilmu itu turut diadaptasi kepada bahasa ibunda sesebuah negara tersebut. Lihat negara Jepun, bagaimana negara mereka boleh mencapai tahap negara maju dengan hampir 90% menggunakan bahasa kebangsaan mereka sahaja. Antara kebaikkan ilmu itu diterjemah ke bahasa Melayu ialah supaya penyebaran ilmu itu adalah lebih meluas ke semua peringkat. Tamadun sesuatu kaum itu bergantung kepada ilmu di jiwa mereka, dan kita harap kita dapat menyebarkan ilmu itu seluas yang boleh.

Semoga laman web ini bermanfaat kepada semua khususnya RA yang pada suatu hari nanti mungkin menjadi seorang saintis terkemuka yang dapat memberikan impak yang besar kepada dunia.

Terima kasih.

signaturedimage